MOSCOW – Pakar-pakar perubatan di Rusia bingung berikutan penemuan ayat-ayat suci al-Quran dan Arab pada kulit seorang bayi berusia sembilan bulan di Dagestan, Rusia, lapor sebuah akhbar semalam.
Ayat-ayat itu muncul pada belakang, tangan, kaki dan perut Ali Yakubov pada setiap malam Isnin dan Jumaat sebelum hilang tetapi diganti dengan beberapa ayat al-Quran baru dua kali seminggu.
Pakar-pakar perubatan Rusia menyatakan, mereka tidak tahu bagaimana fenomena itu boleh berlaku selepas perkataan Allah mula muncul pada dagu bayi tersebut ketika dia berusia beberapa minggu.
Namun, ketika mengulas mengenainya, pakar-pakar perubatan dan keluarga bayi itu mengaku bahawa ayat-ayat suci itu menjelma sendiri pada badan Ali dan bukan ditulis oleh manusia.
“Ali akan berasa kurang sihat manakala suhu badannya meningkat kepada 40 darjah Celsius setiap kali ia berlaku menyebabkan dia menangis,” kata ibunya Madina Yagubova.
Kini, tempat Ali dilahirkan iaitu di Kampung Red Oktober, Dagestan menjadi tumpuan orang ramai yang mahu melihat keanehan itu.
Paparan mengenai kejadian aneh di Dagestan, wilayah selatan Rusia yang menjadi sasaran pertempuran antara tentera Rusia dengan pejuang-pejuang Islam itu turut dipaparkan di laman perkongsian video YouTube.
“Ali merupakan tanda kebesaran Tuhan. Kelahirannya di Dagestan bagi menyedarkan penduduknya supaya bersatu,” kata seorang ahli parlimen di wilayah itu, Akhmedpasha Amiralaev. – Agensi
0 Comments